NADA DALAM SAJAK

Sajak merupakan sebuah seni yang sangat indah, sama ada ketika mencipta sajak atau mendeklamasikannya.


Salah satu daya penarik yang boleh diketengahkan dalam persembahan sajak ialah penyajak perlu tahu apakah nada yang sesuai dengan sajak yang dideklamasikan.

Setakat yang saya tahu, terdapat 5 jenis nada sajak. Nada-nada tersebut ialah;

1. Nada patriotik

Nada ini selalunya dapat dikenal pasti melalui sajak yang bersifat patriotik, misalnya sajak tentang kemerdekaan. Intonasi penyajak lebih tinggi dan bersemangat ketika mendeklamasikan sajak ini.

2. Nada romantis

Selain itu, nada romantis. Nada romantis lebih menekankan aspek cinta dan kasih sayang, kisah silam dan penghayatan yang mendalam terhadap sesuatu misalnya alam sekitar. Alunan suara penyajak juga lebih lembut dan mendayu.

3. Nada melankolik

Nada melankolik lebih bersifat kesedihan di mana penyajak akan meluahkan perasaan hiba melalui sajak. Sajak seumpama ini juga boleh membuatkan audiens beremosi dan menitiskan air mata sekiranya penyajak memberi sepenuh penghayatan dalam persembahannya.

4. Nada protes

Nada protes ini agak mudah dikenal pasti melalui cara penyampaiannya. Penyajak meluahkan perasaan geram dan memberontak terhadap sesuatu isu atau pihak. Namun, diingatkan, gaya penyampaian nada ini bukanlah memerlukan penyajak untuk terjerit-jerit, tetapi cuma memerlukan penyajak mempamerkan emosi kegeraman yang tidak keterlaluan.

5. Nada sinis
Nada ini memerlukan penyajak untuk menyatakan ketidak puasan hati terhadap sesuatu perkara dengan mempamerkan gaya sindiran. Ayat yang digunakan dalam sajak juga memainkan peranan penting untuk menjayakan penyampaian sajak ini. Nada ini tidak memerlukan penyajak untuk meluahkan kemarahan. 

Jelaslah, seorang penyajak yang baik haruslah mampu membezakan nada sajak sebelum dipersembahkan kepada audiens. Dengan cara ini, isi sajak tersebut akan terkesan di hati para pendengar. Harus diingat, keupayaan semua orang berbeza-beza dalam  menguasai semua nada ini. Saya sendiri hanya mampu menguasai nada melankolik dalam mendeklamasikan sajak. Nada lain, hehe saya masih dalam proses belajar.

Perkara paling penting yang perlu ada pada diri penyajak ialah kemampuan untuk menghayati sajak yang dideklamasikan.


Apa yang penting, teruskan belajar tanpa henti. Usaha yang gigih pasti akan membuahkan hasil juga. 

Harap perkongsian saya membantu anda yang membacanya. Semoga berjaya dalam perjalanan menjadi seorang penyajak hebat!


 

Comments

Popular posts from this blog

BISNES DI USIA MUDA : TIPS BAGI YANG BARU NAK MULA